Tuesday, March 9, 2010

Sukan diwajibkan mulai tahun depan


MARAN 21 Feb. – Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, satu jawatankuasa sementara ditubuhkan untuk mengkaji perkara tersebut yang membabitkan kurikulum dan aspek pemarkahan.

”Sekurang-kurangnya satu sukan wajib diambil oleh pelajar. Dasar ini telah lama ada tetapi ia kurang ditekan.

”Kita sedang mengkaji kurikulumnya dan sekurang-kurangnya tahun depan kita boleh mula tetapi mana-mana sekolah yang telah bersedia boleh bermula tahun ini. Kita perlu memperincikan jadual dan kurikulum bagi mengelakkan pertembungan antara akademik dan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara cawangan Jengka di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah-sekolah memandangkan ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan merombak Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dengan menjadikan sukan sebagai bidang berasingan.

”Pada masa ini, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum kementerian melibatkan persatuan beruniform diletakkan dalam satu bahagian. Kita hendak buat rombakan iaitu kokurikulum dalam satu bahagian manakala sukan dalam pengkhususan lain,” jelasnya.

Sehubungan itu kata beliau, jawatankuasa sementara itu akan mengkaji pelbagai perkara termasuk kurikulum yang lebih lengkap, tenaga pengajar, jurulatih yang berkemahiran dan aspek promosi.

Menurut beliau, aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak hanya diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.

”Kita hendak lahirkan lebih banyak guru sukan dan mengubah semula kalendar sukan tahunan.

Ketika ini, kalendar sukan tahunan dibuat dua tiga bulan selepas sekolah dibuka dan pada bulan Jun telah selesai dan selepas itu tidak ada diberi perhatian oleh pihak sekolah,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah peruntukan kepada sekolah-sekolah supaya hasrat itu menjadi kenyataan.

dipetik dari Utusan Malaysia Online

Kerajaan akui PPSMI banyak kelemahan


Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa dua subjek itu diajar dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.

Menteri pelajaran juga berkata laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003.

"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya dalam sidang media khas mengumumkan pembatalan dasar tersebut mulai 2012.

Tambahnya, berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing di SJK Cina dan SJK Tamil.

Kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa ia tidak dapat diteruskan seperti dihasratkan, lapor agensi berita itu lagi.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," Muhyiddin dipetik berkata.

Menurutnya lagi, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Selain itu, tambah Muhyiddin, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap kepetahan.

Katanya, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya seperti dilaporkan.

dipetik dari www.malaysiakini.com

Monday, March 8, 2010

Stres Guru Membimbangkan


KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tahap stres di kalangan guru-guru di negara ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang meningkat.

Presiden NUTP, Ismail Nihat berkata, guru-guru kini terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan.

“Apabila ada pegawai baru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri atau di peringkat kementerian, banyaklah idea dan tugasan baru yang harus dipikul oleh guru.

“Bebanan ini terus berlaku dalam keadaan jumlah guru yang tidak seimbang dengan peningkatan jumlah murid, projek banyak tetapi guru sedikit,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng di sini, hari ini.

Sidang akhbar itu bertujuan menjelaskan beberapa isu melibatkan golongan guru yang akan dibentangkan pada Persidangan Perwakilan NUTP ke-17 yang bermula esok hingga 22 Ogos ini.

Menurut Ismail, walaupun kedengaran pelik tetapi semua pihak harus menerima hakikat bahawa masalah yang dihadapi oleh golongan guru menjurus kepada tekanan mental dan emosi berbanding fizikal.

“Ini menjejaskan keupayaan dan kepercayaan mereka terhadap diri sendiri untuk mencapai matlamat melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkualiti,” katanya.

Selain itu, beliau menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan stres di kalangan guru iaitu:

1) Harapan ibu bapa terlalu tinggi kepada guru kerana sering mahukan pencapaian terbaik pelajar.

2) Masalah disiplin pelajar yang semakin sukar dikawal termasuk melibatkan keselamatan guru.

3) Pelajar-pelajar semakin cerdik berbanding guru ekoran akses pendidikan yang semakin canggih dan meluas.

Sehubungan itu katanya, NUTP akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjalankan satu kajian khas mengenai tahap sebenar tekanan di kalangan guru.

“Kita sedang berunding dengan JPA tetapi kami sudah menyediakan set soalan khas untuk menjayakan kajian tersebut.

“Sebagai permulaan kita akan agih-agihkannya kepada 220 delegasi yang menghadiri persidangan itu nanti,” ujarnya.

Tambah beliau, kajian itu penting untuk membantu kerajaan meneliti langkah-langkah penyelesaian yang sesuai.

dipetik dari http://www.puteri.net.my

Sambutan Maulidur Rasul


Maulidur Rasul 2010 atau sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad 1431 Hijrah disambut di seluruh dunia dengan pelbagai acara dan gaya. Menurut kalendar Islam, Pada tahun 2010 ia akan diadakan pada 26 FEbruari 2010.

Alhamdulillah, segala puji dan puja kita rafaakkan kepada Allah yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita, Selawat dan salam buat junjungan besar tercinta Nabi Muhammad SAW, penutup sekalian para nabi dan rasul.

Pada 26 Februari,2010, kita menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah Saw.
Saban tahun kita menyambut dan mengenang kelahiran baginda SAW. Namun harus kita bertanya kepada benak fikiran kita sejauh mana kita telah mencontohi dan mengimplimentasi pusaka peninggalan baginda SAW di dalam kehidupan kita.

Marilah kita menggali semula mutiara keindahan hidup baginda SAW. Mari kita susuri dan teladani qudwah dakwah dan perjuangan baginda bagi kita memacu semula gerakan pencerahan dan pembangunan semula satu nahdah (peradaban).

Saya mewakili warga kerja SMKPD ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 2010 buat semua teman seIslam.Marilah bersama-sama kita junjung kecintaan pada baginda SAW ,kita lestarikan pancang dakwah dan jihad baginda dalam hidup kita. Kita pintal dan suburkan semula kecintaan kita pada baginda dengan menjadikan baginda ikon terbaik hidup kita.